About Me

Foto saya
Bidor, Perak, Malaysia
Dan Dia(Allah) yang mempersatukan hati manusia(org yg beriman).Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yg berada dibumi,niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka,tetapi Allahr telah mempersatukan hati mereka.Sungguh,Dia Maha perkasa,Mahabijaksana. (8/63)

Jumaat, 20 Ogos 2010

Tarbiyyah Tunjang Gerakan

Al Mujahid As Syeikh Mustafa Masyhur pernah menyebut;

(Tarbiyyah bukan segala-galanya tetapi segala-galanya hanya dapat diraih dengan Tarbiyyah.)

Akibatnya Islam yang sepatutnya menjadi suatu nikmat terbesar kurniaan Ilahi kini menjadi suatu bebanan. Suatu bebanan yang ditanggung lantaran kejahilan Ummat Islam itu sendiri dalam memahami dan menghayati Islam sebagai suatu nikmat.
Ibnu Taimiyyah di dalam menjelaskan mengenai kepentingan kefahaman yang shahih dan implikasinya dalam kehidupan Mukmin menyebutkan bahawa:

“Kefahaman yang sohih dan niat yang baik adalah sebesar-besar nikmat Allah s.w.t ke atas hambaNya. Bahkan tidak ada anugerah yang lebih baik dan mulia selepas Islam melainkan kedua-duanya. Kedua-duanya merupakan betis kepada Islam. Islam tertegak di atasnya dan dengannya seorang hamba terselamat dari jalan-jalan orang-orang sesat yang mempunyai kefahaman yang rosak.

Pengertian Tarbiyyah Islamiyyah

Tarbiyyah dari segi bahasa berasal daripada perkataan Arab (ربىّ,يربىّ,مربّي, مربى) yang membawa erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Manakala dari segi istilah, perkataan Tarbiyyah membawa pengertian cara terbaik (ideal) dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung (berupa kata-kata) mahupun secara tidak langsung (berupa teladan, sesuai dengan sistem dan wasilahnya yang khas) untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju keadaan yang lebih baik.

Tarbiyyah Islamiyyah pula ialah penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber Rabbani. Atau dalam pengertian yang lebih khusus Tarbiyyah Islamiyyah bererti proses mempersiapkan individu dengan persediaan yang menyentuh seluruh aspek kehidupannya, meliputi: rohani, jasmani dan aqli (akal fikirannya). Ianya bersifat integral dan komprehensif.
Tarbiyyah Islamiyah adalah proses penyediaan manusia yang soleh ,iaitu agar tercipta suatu keseimbangan dalam potensi, matlamat, ucapan dan tindakannya secara menyeluruh. Keseimbangan di sini bermaksud jangan sampai kemunculan suatu potensi menyebabkan lenyapnya potensi yang lain. Dengan proses tarbiyyah inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah s.a.w. sehingga berjaya melahirkan Generasi Rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim yang bermaksud:

“Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”
(Ali ‘Imran: 110)

Kepentingan Tarbiyyah

Hanya melalui jalan Tarbiyyah kita dapat membina kefahaman yang sebenar tentang agama Allah swt iaitu kefahaman yang sebenar, kefahaman yang sohih dan syumul, kefahaman sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt, kefahaman sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah saw dan yang diyakini dan dicontohkan oleh sahabat-sahabat generasi Awwal al Quran.

Hanya melalui tarbiyyah kita dapat memahami peranan dan tanggungjawab kita sebagai Muslim. Jika kita tidak mengetahui peranan dan tanggungjawab kita sebagai Mukmin maka sama saja jika kita tidak tahu peranan dan tanggungjawab kita sebagai manusia dan dengan mudah kita akan melakukan perbuatan-perbuatan yang bersifat binatang dan kita tidak tahu menghayati sifat kemanusiaan.

Begitu juga halnya jika seorang Muslim yang tidak mengenali pendiriannya sebagai seorang Islam dan tidak mengetahui perbezaan antara dia dan kafir, maka dia akan bertindak sebagai orang kafir dan juga tidak akan merasakan keagungannya sebagai seorang Muslim.

Oleh yang demikian setiap Muslim dan kanak-kanak Muslim harus diajar dan dididik serta diasuh tentang pendirian dan kedudukan mereka sebagai seorang Muslim. Mereka perlu tahu akan perubahan kedudukan mereka setelah mereka menjadi Muslim. Mereka perlu tahu akan tanggungjawab yang dikenakan terhadap mereka berikutan kedudukan mereka sebagai seorang Muslim. Mereka patut kenal akan batas-batasan yang akan menjamin dan mengekalkan diri mereka sebagai Muslim agar mereka tidak melewatinya. Mereka patut tahu bahawa dengan melewati batas-batas tersebut, mereka akan bersara dari menjadi seorang Muslim walaupun mulut mereka berlagak sebagai seorang Muslim.

Pengertian dan hakikat Iman

Iman yang cuba dilahirkan melalui Proses Tarbiyyah Islamiyyah ini bukanlah sekadar angan-angan ataupun perhiasan bahkan Iman itu merupakan keyakinan dalam hati dan dibenarkan dengan amal.Apabila kita melihat sirah Rasulullah s.a.w, baginda pertama kali memperhatikan aspek kebersihan ‘Aqidah Tauhid dan menyucikannya dari berbagai kotoran syirik, kerana itulah dasar yang akan menumpang berdirinya bangunan keperibadian seorang muslim yang selanjutnya akan melakukan dan memasuki fasa pembangunan keluarga, masyarakat kemudian pemerintah dan negara. Rasulullah s.a.w memperhatikan aspek Tarbiyyah dan Kadirisasi para Rijal ‘Aqidah dan Pasukan Dakwahnya.

Kita lihat kaum muslimin ketika itu juga menghadapi cacian, penyiksaan, pembunuhan. Tapi Rasulullah s.a.w tetap menasihati mereka dengan sabar dan memberi khabar gembira dengan syurga dan kemenangan. Rasullullah s.a.w tidak meminta mereka membalas cacian itu dengan kekuatan. Meskipun mungkin saja Rasulullah s.a.w memerintahkan mereka untuk membunuh Abu Jahal misalnya atau meruntuhkan berhala untuk menghilangkan kemungkaran. Tapi hal itu tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Kerana bila itu terjadi akan heboh di kalangan Musyrikin. Dan bila itu terjadi mereka pasti akan menghancurkan dakwah’, padahal ketika itu dakwah masih sangat lemah dan pengikutnya masih sedikit. Dan kalau begitu, kemusyrikan dan kemungkaran tidak akan lenyap.

Itulah Manhaj Perjuangan Rasululllah pada fasa itu. Mempersiapkan Kader yang kuat akan menjadi dasar bangunan. Mereka dibina sesuai dengan ayat al Qur’an di Madrasah Rasulullah s.a.w. untuk tunduk pada perintah Allah, dengan melakukan Qiamullail untuk menambah bekalan lantaran mereka memikul amanat berat sebagaimana firman Allah;

“Hai orang-orang yang berselimut (Muhammad s.a.w), bangunlah (untuk solat) di malam hari, kecuali sedikit (daripadanya), (iaitu) seperduanya atau kurangilah dari seperdua itu sedikit, atau lebih seperdua itu. Dan bacalah Al Qur’an itu dengan perlahan-lahan. Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat.”
(Al Muzzammil: 1-5)

Inilah juga proses pertama yang mesti dilalui oleh mereka yang ingin melibatkan diri di dalam Harakah Islamiyyah, iaitu proses membersihkan hati dari segala Karat-Karat Jahiliyyah dan seterusnya menanam bibit-bibit Keimanan yang bersih dan murni. Inilah salah satu ciri utama yang menjadikan Generasi Awal Al Qur’an sebagai satu Generasi Yang Cemerlang (Jiil ul Quran).Inilah juga proses awal yang perlu dilalui oleh mana-mana ahli anggota gerakan yang mengharapkan natijah yang sama. Inilah faktor yang terlebih dahulu dilihat sebelum kita atau mana-mana kumpulan berfikir dan merancang menegakkan peraturan masyarakat yang Islamik, dalam usaha membangunkan sebuah masyarakat atau Ummah Islam di tengah-tengah kepekatan Jahiliyyah Moden ini. Kita perlu mencontohi proses pembentukan dan pembangunan yang dijalankan oleh Rasulullah s.a.w 14 abad yang lalu.

Sesungguhnya membentuk dan membangunkan peribadi Islam pada individu-individu Muslim dan gerakan islam berdasarkan kepada Tauhid tadi adalah langkah pertama dan asas dalam usaha awal membina masyarakat Islam yang terlaksana di dalam penghayatan hidup mereka hukum-hukum Allah s.w.t dan peradaban Islam yang ditinggalkan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.Oleh itu anggota harakah mestilah beriman dengan sebenar-benarnya dan menyelaraskan diri dengan Islam dengan sungguh-sungguh. Mereka itulah yang menjadi lampu-lampu hidayah. Di samping itu, mereka terdedah dengan fitnah-fitnah yang membuta tuli.

Sejarah Islam telah menyaksikan di setiap zamannya yang berbeza-beza, berbagai-bagai contoh teladan yang indah dan cemerlang. Para pemudanya telah menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah gugur dan ada pula dari mereka yang menuggu dan mereka sedikitpun tidak berubah.

Di atas asas inilah terbentuknya harakah Islamiyyah yang pertama. Harakah yang beriman dengan da’wahnya selaras dengan segala prinsip yang didokong. Ia mengetahui segala bahaya jalan yang dilaluinya dan bersiap sedia memberi pengorbanannya dengan redha dan rela hati.

Renunglah kata-kata As Syahid Hassan Al Banna:

“Betapa inginnya kami agar umat ini mengetahui bahawa mereka lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Kami berbangga ketika jiwa-jiwa kami gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu yang diperlukan atau menjadi harga bagi tegaknya kejayaan, kemuliaan dan terwujudnya cita-cita mereka, jika memang itu harga yang harus dibayar. Tiada sesuatu yang membuat kami bersikap seperti ini selain rasa cinta yang talah mengharu biru hati kami, menguasai perasaan kami, memeras habis air mata kami dan mencabut rasa ingin tidur dari pelupuk mara kami. Betapa kami menyaksikan bencana yang mencabik-cabik umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah kepada kehinaan dan pasrah oleh keputusan. Sungguh kami berbuat di jalan Allah untuk kemaslahatan seluruh manusia, lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk kepentingan diri kami. Kami adalah milik kalian wahai saudara tercinta, sesaatpun kami tidak akan pernah menjadi musuh kalian.”

Oleh itu kita perlu merasakan betapa kita berhajat kepada tarbiyyah supaya kita menggunakan masa yang ada sekarang untuk kita menimba sebanyak mungkin ilmu dan pengalaman.Kehidupan kita seharian juga adalah tarbiyah dari ALLAH, Masyarakat sekarang sedang menantikan kedatangan Da’ie dan Murabbi untuk merawat penyakit-penyakit ummat dan membimbing mereka kepada hidayah Allah swt.Tanamkanlah kepentingan tarbiyah terutama didalam gerakan mahasiswa kampus pada masa kini.Masyarakat yang hidup dalam keadaan maksiat dan penuh kemungkaran hari ini jika tidak dirawat dan dibimbing kepada hidayah Allah swt berhak untuk mendakwa kita di Akhirat kelak jika kita bergaul dengan mereka dalam keadaan tidak ada apa-apa usaha untuk membawa mereka kepada jalan Allah swt.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan