About Me

Foto saya
Bidor, Perak, Malaysia
Dan Dia(Allah) yang mempersatukan hati manusia(org yg beriman).Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yg berada dibumi,niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka,tetapi Allahr telah mempersatukan hati mereka.Sungguh,Dia Maha perkasa,Mahabijaksana. (8/63)

Selasa, 10 Ogos 2010


HOPE AND CHANGE…..


Membangun dan membina semula ummah setelah melalui fasa-fasa keruntuhan adalah suatu kerja yang besar dan berat. Kerja-kerja ini sekurang-kurangnya memerlukan satu kelompok yang mempunyai beberapa syarat khusus seperti memiliki kekuatan jiwa yang besar yang dijelmakan di dalam keinginan yang kuat tanpa diresapi oleh sebarang kelemahan, kesetiaan yang tetap berkekalan tanpa dijangkiti oleh sebarang warna tipudaya, pengorbanan suci yang tidak dapat dihalang oleh sifat tamak dan bakhil serta mengetahui prinsip, mengimaninya dan memberikannya nilai kedudukan yang sesuai hingga dapat mengawal diri dari sebarang kesalahan, penyelewengan atau tertipu oleh perkara-perkara yang kurang utama.

Kerja-kerja ini juga memerlukan permulaan atau titik tolak yang betul. Titik tolak yang menggariskan objektif dan menentukan ciri-ciri keperibadian pendokongnya serta tidak mengabaikan aspek sebab dan musabab di dalam perancangannya.

Jika dalam pembinaan sebuah bangunan besar mencakar langit memerlukan suatu pelan yang terperinci dan khusus maka pembinaan semula ummat ini menuntut perkara yang lebih lagi. Kita memerlukan pelan-pelan terperinci berkaitan pembinaan individunya, keluarganya, masyarakatnya, daulah serta pelan untuk mengatur alam ini supaya benar-benar terpimpin dengan kebenaran.

Setiap fasa pembinaan mestilah di beri pemantauan yang sebenarnya hingga kerja-kerja yang terlaksana tidak menyimpang dari matlamat dan objektif asalnya.

Jika untuk membina bangunan besar dan mencakar langit memerlukan institusi tertentu untuk melahirkan tenaga-tenaga pakar yang menguasai bidang masing-masing maka kita juga memerlukan terdirinya institusi kita sendiri yang mengeluarkan graduan-graduan yang masing-masing memiliki kepakaran-kepakaran yang diperlukan.

Sering saja suatu gerakan diancam dengan keguguran dan kekeringan sumber tenaga untuk menyambung kerja-kerja yang telah dimulakan hingga matlamat sucinya terkubur bersama harapan yang menyala-nyala. Oleh itu kita memerlukan team work yang melakukan kerja-kerja kaderisasi yang akan membekalkan tenaga kerja secara berterusan.

Ia seharusnya mampu menyediakan tenaga-tenaga pakar yang akan menyambung dan melengkapkan kerja-kerja pembinaan ummah ini. Institusi ini perlu melahirkan graduan yang terdidik dengan fikrah atau pemikiran pembinaan (‘aqliatul banna’) yang sesuai dengan kerja-kerja yang bakal dilaksanakannya.

Mahasiswa ini seharusnya memenuhi kriteria pembina seperti:

1.Memiliki pandangan luas dan jauh (ru’yatul waadhih) sehingga mampu merancang dan merangka kerja-kerja sesuai dengan keperluan jangka pendek dan jangka panjang serta mengetahui pula halangan dan cabaran yang bakal ditempuhi.

2.Memiliki aqal fikiran yang tajam dan kritis hingga dapat melihat segala permasalahan dari setiap sudut serta menentukan penyelesaian yang menyeluruh tanpa mengabaikan atau terlepas pandang segala perkara yang berkaitan.

3.Memiliki kehalusan jiwa sehingga melahirkan kepekaan terhadap tanggungjawab serta peka dengan kesan serta akibat dari setiap tindakan.

4.Memiliki jiwa yang besar hingga tidak mengenal erti kelemahan jiwa dan putus asa (tidak Futur)

5.Memiliki prinsip yang betul dan keyakinan diri untuk membuat keputusan serta mengambil tindakan dengan tepat dan bijaksana.

6.Memiliki keimanan yang mendalam sehingga mampu patuh kepada keputusan pimpinan walaupun bertentangan dengan pendapatnya sendiri.(wala’)

7.Memiliki daya fokus yang tinggi hingga tidak mudah tertarik dengan tarikan duniawi dan menyimpang dari matlamat.

8.Memiliki keluasan ilmu hingga mampu membuat pertimbangan secara menyeluruh di dalam menentukan kepentingan umat dan keutamaan.

9.Menguasai kaedah-kaedah dan prinsip-prinsip di dalam membuat keputusan yang betul dan berkesan.

10.Menguasai dan memahami pergolakan jiwa dan perasaannya hingga dapat istiqomah dengan kerja-kerja yang besar dan menuntut kesabaran serta pengorbanan yang tinggi.

Inilah sebahagian dari kriteria yang seharusnya menjadi fokus utama pelaksanaan program-program pendidikan @ tarbiyah yang terlaksanakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan