About Me

Foto saya
Bidor, Perak, Malaysia
Dan Dia(Allah) yang mempersatukan hati manusia(org yg beriman).Walaupun kamu menginfakkan semua (kekayaan) yg berada dibumi,niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka,tetapi Allahr telah mempersatukan hati mereka.Sungguh,Dia Maha perkasa,Mahabijaksana. (8/63)

Selasa, 8 Disember 2009

Izinkan Aku Cuti Dari Dakwah Ini

Jalan ibukota masih dipenuhi ramai manusia hingga larut malamnya, dengan kenderaan yang terus lalu lalang, juga dengan kehidupan manusia di dinihari yang seakan tidak akan pernah mati.

Namun kini hatiku tidak seperti keadaan dikota ini.Hatiku SUNYI... Itulah yang sedang kurasakan. Bergelut dengan aktiViti dakwah yang perlu diberi perhatian, baik tenaga, harta, waktu dan sebagainya, seakan menempa diriku untuk terus belajar menjadi seorang mujahidah.

Tapi kini, hatiku sedang dirundung kegelisahan.Jikalau saudara-saudaraku didalam barisan dakwah yang dikatakan amanah, komitmen, bersungguh-sungguh wujud namun seakan semua itu hanyalah teori-teori dalam pertemuan mingguan.

Hanya dibahas, ditanya jawapannya kemudian disimpan dalam catatan kecil atau buku agenda yang sudah lusuh hingga tidak tahu bila akan bertemu mereka lagi, tanpa ada amal perbaikan yang lebih baik. Ya… Mungkin itu yang ada dibenakku saat ini tentang su’udzhonku terhadap mereka, setelah seribu satu alasan untuk ber-husnuzhon.

Kini kutermenung kembali akan hakikat dakwah ini. Sebenarnya apa yang kita cari dari dakwah? Dimanakah yang dinamakan konsep amal jama'i yang sering diceritakan indah dan menyeronokkan sehingga terkesan dihati? Apakah itu hanya pemanis cerita tentang dakwah belaka? Apakah ini yang disebut ukhuwah?

Sering terlontar kata-kata ini "Asif , ana tidak boleh bantu enti dalam kerja nie…" atau sms yang berbunyi "Asif, ana tak dapat datang untuk liqo’ hari ini…" atau kata-kata berawalan "Asif …" katanya dengan seribu satu alasan yang membuat seorang tidak dapat hadir untuk merencanakan strategi-strategi dakwah akan datang.

Kalau seperti itu hakikat dakwah maka sudah cukup, "Izinkan aku untuk cuti dari dakwah ini, mungkin untuk seminggu, sebulan, setahun atau bahkan selamanya. Lebih baik aku tumpukan sahaja dengan studyku yang kini entah bagaimana keadaannya. atau dengan impian-impianku yang belum terpenuhi, atau lebih baik bagiku membantu ayah dan ibuku yang sudah semakin tua, Tanpa aku pun dakwah tetap berjalan, bukan???"

Sahabat-sahabatku…
Memang dalam dunia dakwah yang sedang kita rasai ini seperti sekarang ini selalu kita mengalami konflik atau masalah-masalah . Dari segenap segi permasalahan tersebut kadang-kadang ada yang timbul di kalangan antara kita sendiri.

Pernah suatu ketika dalam sebuah program barisan pimpinan persatuan, ada seorang ikhwan yang mengutarakan sakit hatinya terhadap saudaranya yang tidak amanah dengan tugas dan tanggungjawab dakwahnya dan persatuan. Dalam waktu yang lain, seorang akhwat "minta cuti" lantaran sakit hati terhadap akhwat yang lain kerana tidak lagi tahan mendengar caci-maki rakan seangkatannya.Ada juga yang hanyut dilayan arus perasaan cinta sesama ahli seangkatan sehingga menyebabkan kerja-kerja dakwah tidak bergerak sekencangnya.

Pernah pula suatu masa dahulu kawanku bercerita tentang seorang ikhwan yang telah dizalimi oleh saudara-saudaranya dimedan dakwah. Sebuah kisah benar yang sepatutnya menjadi pengajaran kita yang mengaku selaku penggerak dakwah..

Ceritanya, didalam sebuah universiti terdapat seorang aktivis dakwah dia kelihatan sangat ceria didalam kehidupan sehariannya,tetapi tidak seorang pun tahu apa yang bermain dibenak fikiran dan hatinya.

Singkatkan cerita, ketika si X ditanya mengapa ia hanya mampu lulus dalam tempoh 5 tahun sedangkan kawan-kawannya mampu lulus dalam waktu empat tahun? Ingin tahu apa yang dijawabnya? Ia menjawab "Aku lulus dalam waktu 5 tahun kerana aku harus mengorbankan kelas kuliahku untuk mengerjakan tugas-tugas dakwah yang seharusnya dikerjakan oleh rakan-rakanku yang lain,dan mereka mampu lulus dalam masa empat tahun."


Subhanallah…kita merasa bangga dengan pengorbanan si X, dengan semangatdan perasaan cinta yang tinggi terhadap jalan dakwah beliau sanggup untuk berkorban dan mengulang subjek demi terlaksananya roda dakwah agar terus berputar dengan melaksanakan tugas-tugas dakwah yang seharusnya dilakukan oleh kawan-kawannya. Namun demikian, kita patut merasa sedih,kerana kader-kader dakwah (kawan-kawan si X) dengan pelbagai macam alasan duniawi rela meninggalkan tugas-tugas dakwah yang seharusnya mereka kerjakan.Alangkah sedihnya memikirkan golongan yang telah dipilih oleh Allah sanggup meninggalkan tugas dakwah kerana mengikut hawa nafsu dan telunjuk syaitan.

Sahabat….

Semoga kisah tersebut tidak terulang kembali dizaman kita, cukuplah menjadi sebuah pengajaran berharga….

Semoga kisah tersebut membuat kita sedar, bahwa setiap aktivis dakwah ini mempunyai tanggungjawab yang harus dipikul,kita tidak punya masa untuk menghabiskan masa sewenang-wenangnya didalam kehidupan ini.Apa yang harus kita JAWAB dihadapan Allah nanti jika kita melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan secara main-main sahaja, jika kita mempunyai semangat yang tinggi kita melakukan kerja dakwah ini penuh semangat sesetengah ketika tetapi apabila Allah mengambil semangat itu kembali kita mula menjadi lemah tanpa melakukan apa-apa kerja Islam sekalipun.Alangkah ruginya diri kita,...

Ya, setiap aktifis dakwah adalah manusia yang memiliki hati yang sudah tentu berbeza-beza. Ada aktifis yang hatinya kuat menangung masalah yang timbul sesama ahli dan terus tekad melakukan kerja ISLAM. Tapi jangan pula kita lupa bahwa ramai aktifis-aktifis yang tidak memiliki ketahanan diri yang tinggi dalam menghadapi tingkahlaku kawan-kawan yang seangkatan dengannya.
Sahabat sekalian,
Dakwah yang kita lalui ini memang sarat dengan kekecewaan,kekecewaan yang sering kali berbuah dari timbulnya sakit hati dikalangan kita sendiri yang menjadi terbantutnya kerja-kerja Islam ini.Namun ku ingin kongsikan dengan sahabat sekalian,dari kata-kata seorang murobbiku...Untuk menjaga hati semua orang amat payah sekali tetapi kita fikirkanlah bahawa hak ALLAH LEBIH HARUS DIJAGA dari hati yang terlalu banyak su’ulzhonnya,Kita harus belajar memujuk hati kita sendiri ITULAH UBAT yang paling mujarab dalam masalah ini.

Namun apakah engkau tahu wahai sahabat-sahabatku?
Tahukah engkau bahwa seringkali kita melupakan hal ini? Seringkali kita memukul rata perlakuan kita kepada sahabat-sahabat kita sesama aktifis dakwah,kita lebih bijak mengkritik perkara yang remeh temeh tanpa memikirkan kemaslahatan dakwah ini. . Begitu mudahnya kita melontarkan kata-kata "afwan", "maaf" atau kata-kata manis lainnya atas kelalaian-kelalaian yang kita lakukan, tanpa kita sedari bahwa mungkin kelalaian yang kita lakukan itu ternyata menyakiti hati saudara kita.

Dan bahkan sebagai penguat hujah kita tambahkan alasan bahwa kita hanyalah manusia biasa yang juga sering melakukan kesilapan. Banyak orang boleh kata-kata "afwan", "maaf" dan sebagainya,tetapi marilah kita fikirkan bersama tidak bererti sebuah kemaafan yang diucapkan jika kita melakukan kesalahan itu berkali-kali lagi.

Jumaat, 4 Disember 2009




ZAINAB AL GHAZALI AL JUBAILI

Bismillah Walhamdulillah Was Salaatu Was Salaam 'ala Rasulillah.
Dilahirkan pada 1917 , Zainab Al Ghazali Al Jubaili merupakan pengasas Jama'at Muslimat . Penubuhan Jama'at Muslimat pada tahun 1937 ini bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.

Dalam tahun 1937 ini juga, Zainab telah bertemu dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin pada masa itu iaitu As Syahid Hassan Al Banna yang sedang cuba menubuhkan satu cabang khusus untuk muslimat dalam Ikhwanul Muslimin. Jama'ah Muslimat kemudiannya dijadikan satu cabang dari gerakan Ikhwanul Muslimin . Bagaimanapun, pada awal penubuhannya, ia tidak terikat dengan Ikhwanul Muslimin hinggalah berlakunya peristiwa pembubaran Ikhwanul Muslimin pada tahun 1948. Segala harta Ikhwan telah dirampas, cawangan-cawangannya ditutup dan beribu-ribu ahli Ikhwan telah ditangkap. Setelah peristiwa ini, Zainab memikirkan semula saranan awal Hassan Al Banna agar Jama'at Muslimat bergabung dengan Ikhwanul Muslimin dan akhirnya pada tahun 1948, Zainab Al Ghazali sebagai pengerusi Jama'at Muslimat telah memberikan bai'ah kepada Hassan Al Banna.

Bagaimanapun tanggal Februari 1949, komplot untuk membunuh Hassan Al Banna telah dilaksanakan dan akhirnya gugurlah seorang pejuang Islam yang gigih. Perjuangan beliau telah disambung oleh Al Imam Mursyid Hassan Al Hudaibi. Terdapat satu peristiwa menarik berkenaan dengan Hassan Hudaibi ini. Dalam tahun 1954, Jamal Abdul Nasser telah mengeluarkan perintah hukuman gantung kepada As Syahid Abdul Kadir Audah, As Syeikh Muhammad Fargali, Hassan Hudaibi dan beberapa orang lagi. Walaubagaimanapun, Hassan Hudaibi diserang penyakit jantung secara tiba-tiba dan doktor meramalkan bahawa beliau hanya boleh hidup beberapa jam sahaja lagi. Jamal Abdul Nasser mengampuni beliau kerana menyangka bahawa beliau akan mati keesokan harinya. Dengan kekuasaan Allah, umur Hassan Hudaibi masih panjang dan beliau akhirnya ditangkap dan dihantar ke penjara tentera buat kali kedua. Hassan Hudaibi merupakan seorang pejuang yang sejati dan begitu berani . Sewaktu beberapa orang Ikhwan yang sudah lemah kerana berada lama dalam perjuangan mengajukan cadangan agar Ikhwanul Muslimin bekerjasama dengan golongan pemerintah yang taghut, beliau telah menyuarakan pendapatnya yang masyhur:"Aku tidak memaksa seseorang bersikap tegas dan berani mengikut pendirianku tetapi aku mengingatkanmu bahawa sesungguhnya dakwah Islam tidak pernah tertegak walau sehari dengan orang-orang yang telah mengambil sikap bertolak ansur".

Pendapatnya ini dilahirkan sewaktu beliau berumur 80 tahun dan beliau terus kekal dalam penjara dan hanya dibebaskan setelah kematian Jamal Abdul Nasseer. Awal Ogos 1965, Jamal Abdul Nasser mula membuat perancangan untuk menangkap barisan pemimpin harakah Islamiah. Perancangan ini didalangi oleh perisik-perisik Amerika dan Russsia yang di susun oleh Zionisme Antarabangsa. Untuk mengaburi mata orang ramai, rejim Jamal Abdul Nasser telah menuduh Zainab dan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain seperti Syed Qutb dan Hassan Hudaibi merancang pembunuhan Jamal Abdul Nasser dan 4 orang menterinya. Hasilnya, beribu-ribu orang ahli Ikhwanul Muslimin telah ditangkap. Zainab sendiri telah ditahan pada Jumaat, 20 Ogos 1965. Beliau kemudian telah disumbatkan ke penjara dan di sana beliau melihat bagaimana anggota Ikhwanul Muslimin diseksa dengan teruk. Ada yang digantung, dicambuk dan dicakar-cakar oleh anjing ganas setelah mereka disebat. Zainab sendiri disiksa dengan kejam termasuk dipukul dengan teruk, disumbatkan dalam penjara air dan diancam untuk dirogol. Walaupun beliau berada dalam kesakitan kerana disiksa, namun dengan pertolongan Allah beliau berjaya menewaskan askar yang diperintahkan untuk merogolnya.

Untuk mengaburi mata rakyat, pihak pemerintah telah mengaturkan agar ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei 1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain dijatuhkan hukuman gantung. Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada 10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun mengalami pelbagai penderitaan.
UMMATI, UMMATI, UMMATI ...


UMMATI, UMMATI, UMMATI ...
Bisikan qalbu, bicara naluri
Penyejuk mata, penawar hati

Ummati, ummati, ummati...
Sabda akhir baginda Nabi
Lafaz hati Kekasih Ilahi
Seru impi insan rohani
Risau fikir penuh emosi
Wasiat wida' luhur haqiqi
Kekal maknawi meski jasad damai bersemadi

Ummati, ummati, ummati...
Masih basah bicara nurani
Masih segar pinta sufi
Masih subur detik suci
Masih kukuh hasrat hati
Masih terngiang harapan murni
Terus abadi kata akhir sebelum pergi

Ummati, ummati, ummati...
Sahih kini bicara nurani
Nyata sudah pinta sufi
Pasti benar detik suci
Punah luluh hasrat hati
Hancur musnah harapan murni
Sirna tuntas kata akhir sebelum pergi

Ummati, ummati, ummati...
Pinta ummah teguh kembali
Pinta ummah tegak berdiri
Pinta ummah bangkitkan diri
Pinta ummah sedar dari mimpi
Pinta ummah usah khayal dengan ilusi
Pinta ummah merumus syumul terapi sejati

Ummati, ummati, ummati...
Ayuh bina tugu sasa zahiri
Ayuh bangun perisai bathini
Ayuh tanam pohon insafi
Ayuh perhias laman rohani
Ayuh perindah emosi salimi
Ayuh cari kerangka berseri
Ayuh cipta model mithali

Agar ummati, ummati, ummati...
Esak tangis tiada lagi
Mendung sendu berarak pergi
Duka lara berlalu menyepi
Senyum tawa muncul kembali
Girang ria kedengaran harmoni
Dan esok mentari kan terbit lagi

Pastinya nanti ummati, ummati, ummati...
Deenul Islam punya sinar sakti
Saff ummah ada cahaya seri
Hidup insani dilimpahi Nur Ilahi
Dan jaya lestari duniawi Ukhrawi.

TAUJIHAT JIHAD

Diriku..
Cari olehmu akan sahabat
Yang boleh dijadikan ubat,
Cari olehmu akan guru
Yang boleh mengenal segala seteru,
Cari olehmu akan isteri
Yang boleh menyerahkan diri,
Dan jadilah olehmu akan abdi
Yang ada baik budi.


Rebah terguling kubangkit kembali
Tersungkur jatuh kupantas berdiri,
Walau sengsara membakar jiwa
Demimu Islam matiku rela,
Tidak berganjak, tidak berubah
Melimpah darah tetapku redah,
Cahaya syahid penenang jiwa
Itulah nilai paling berharga,
Moga matiku husnul khatimah
Bertemumu Tuhan di singgahsana Jannah.


Mataku..
Melihatlah dengan pandangan hati
Telingaku..
Mendengarlah dengan suara hati
Lidahku..
Berkatalah dengan bicara hati
Jawarihku..
Bertindaklah dengan sentuhan hati.

Hatiku..
Nasihatilah mataku agar melihat dengan pandangan haqiqi
Nasihatilah telingaku untuk mendengar dengan suara nurani
Nasihatilah lidahku supaya berkata dengan bicara suci sufi
Dan nasihatilah jawarihku biar bertindak dengan sentuhan ma’nawi.

Ya Allah..
Pejam-pejamkan mataku agar lena dalam jagaMU
Degup-degupkan jantungku agar suaraku dalam pangkuanMU
Tartil-tartilkan zikirku agar bicaraku dalam as-SamadMU
Gegar-gegarkan ikhtiarku agar jawarihku dalam QadarMU
Serta hangus-hanguskan hatiku agar hangit dalam cintaMU!

SRIKANDI MUJAHIDAH DI TERATAK SYED QUTB

Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang amat mesra bagi mereka yang terjun ke medan dakwah. Penulisan-penulisannya menjadi panduan dan sumber inspirasi kepada para petugas Islam. Karangan beliau seperti Tafsir Fi Dhilal al-Quran dan Petunjuk Sepanjang Jalan, menjadi teman akrab pendakwah untuk menyalakan suluhan tarbiah Islam. Perjuangannya di dalam Ikhwan al-Muslimin bersama rakan-rakan seperti Hasan Hudhaibi, adalah lanjutan kepada momentum yang telah dicetuskan oleh pengasasnya al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna.
Namun, tidak ramai yang berpeluang mengenali kehidupan Asy-Syahid Sayyid Qutb secara mendalam. Tidak banyak maklumat yang diketengahkan kepada pembaca tentang latar belakang keluarganya yang sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada pembentukan peribadi dan kualiti diri Asy-Syahid malah kemudiannya turut terkesan dengan ketokohan Asy-Syahid itu sendiri.
Di dalam kesempatan ini, kita akan mengambil peluang untuk mengenali tokoh srikandi yang menjadi sendi penting di dalam ketokohan Asy-Syahid Sayyid Qutb itu sendiri. Semoga ia menjadi dorongan kepada wanita muslimah hari ini untuk menggembeleng peranan dan potensi mereka ke arah produksi lebih ramai insan luar biasa seperti Asy-Syahid Sayyid Qutb di tengah-tengah gelombang cabaran akhir zaman ini.
Bonda Sayyid Qutb berasal dari sebuah keluarga yang mulia. Beliau berkahwin dengan Qutb Ibrahim, ayahanda kepada Sayyid Qutb sebagai isteri kedua, tinggal bersama-sama Qutb Ibrahim seketika di Kaherah sebelum pulang ke kampung bersama keluarganya.
Bonda Sayyid Qutb mempunyai empat adik-beradik lelaki, dua daripadanya menuntut di al-Azhar asy-Syarif. Salah seorangnya dikenali sebagai Ahmad Husain Othman yang lebih dikenali sebagai Ahmad al-Moushi, nisbah kepada perkampungan Moushah. Ketika Sayyid Qutb menuntut di Kaherah, beliau tinggal bersama bapa saudaranya ini, Ahmad al-Moushi.
Sayyid Qutb dibesarkan oleh bondanya yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita yang solehah dan berjiwa kental. Beliau seorang yang pemurah dan banyak bersedekah. Beliau gemar memasakkan makanan untuk pekerja-pekerjanya di ladang serta tetamu-tetamu yang datang mengaji di rumah beliau. Bonda Sayyid Qutb tidak pernah mengganggap semua ini sebagai bebanan kerana beliau menjadikan amalan ini sebagai usahanya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amalan seperti ini sememangnya menjadi tradisi isteri kepada pejuang-pejuang Islam khususnya di rumah-rumah dan pondok pengajian. Bukan sahaja kesetiaan menuntut ilmu dan bekerja yang terhasil malah kesemua yang bernaung di bumbung itu terikat dengan perasaan kasih sayang yang terpercik dari sifat pemurah dan penyayang wanita solehah yang menjadi srikandinya.
Bonda Sayyid Qutb juga amat gemar mendengar bacaan al-Quran malah beliau amat mudah terkesan dengan ayat-ayat yang dibacakan itu. Hal ini dijelaskan oleh Sayyid Qutb di dalam bukunya at-Tasweer al-Fanni fi al-Qur’aan: “Setiap kali engkau asyik mendengar tilawah al-Quran dari belakang tabir oleh para Qurra’ yang datang mengaji ke rumah kita di sepanjang bulan Ramadhan, seandainya aku tercuai dan ingin bermain-main seperti kanak-kanak yang lain, engkau akan mengisyaratkan kepadaku dengan tegas sehingga aku terdiam dan turut menyertaimu mendengar bacaan itu. Dari situlah jiwaku mula meneguk irama al-Quran walaupun dengan usiaku yang masih kecil, belum mampu memahami makna bacaan itu...
Ketika aku membesar di dalam penjagaanmu, aku telah dihantar ke Madrasah Awwaliyyah di kampung. Harapan terbesarmu kepadaku adalah supaya Allah membukakan jalan kemudahan bagiku oleh Allah untuk aku menghafaz al-Quran dan direzekikan kepadaku suara yang lunak untuk membacanya. Sesungguhnya semenjak itu aku sentiasa membacakan al-Quran bagimu di setiap masa dan setiap ketika...
Kini engkau telah pergi meninggalkanku, wahai bonda tersayang. Gambaran terakhir dirimu yang sentiasa segar di ingatanku adalah samar-samar dirimu yang sering duduk di hadapan radio, mendengar keindahan bacaan-bacaan al-Quran. Amat jelas pada lekuk-lekuk wajahmu yang mulia, tanda-tanda mendalamnya ertimu terhadap makna yang tersurat lagi tersirat kalimah al-Quran itu, dengan hatimu yang agung dan perasaan halusmu yang merenung.” [ms 5, at-Taswir al-Fanni fi al-Quran, Dar ash-Shurooq, tanpa tarikh].
Sayyid adalah anak sulung lelaki beliau di samping anak-anaknya yang lain iaitu Aminah, Hamidah dan Muhammad. Wanita berjiwa besar ini telah membesarkan anaknya, Sayyid, dengan penuh ketelitian. Pada “Sayyid”lah beliau letakkan segala harapan, lantas anaknya ini dibesarkan dengan iman, kemuliaan dan latihan pendedahan memikul tanggungjawab. Malah bonda Sayyid Qutb mahukan anaknya ini menjadi dewasa lebih awal dari masa biasanya. Sayyid sentiasa ditiupkan jiwa kedewasaan sehingga beliau acapkali menjauhkan diri dari suasana kebudak-kebudakan yang mengiringi zaman kanak-kanaknya.
Sesungguhnya bonda Sayyid Qutb telah menggabungkan dua unsur penting yang membina keperibadian mujahid dan mujaddid ini. Beliau limpahkan sepenuh rasa kasih sayang dan kemanjaan seorang ibu kepada anak, tetapi kasih sayang itu disiram dengan keakraban al-Quran. Kasih sayang itu bukanlah kemanjaan yang membinasakan proses pembinaan syakhsiah jati diri anaknya kerana di dalam kemanjaan itu, bonda Sayyid Qutb membina keyakinan diri yang tinggi di dalam diri anaknya supaya membesar sebagai seorang yang berjiwa tinggi.
Bonda Sayyid Qutb kembali ke rahmatullah pada tahun 1940. Kematiannya memberikan impak yang amat besar kepada Sayyid Qutb. Ia dibayangkan menerusi ungkapan beliau di dalam tulisannya al-Atyaaf al-Arba’ah ms. 168 [oleh Sayyid Qutb dan adik beradiknya, terbitan Beirut 1967M tanpa nama penerbit]:
“Bonda..
Siapakah selepas ini yang akan menceritakan kisah zaman kanak-kanakku, seakan-akan ia suatu peristiwa yang baru semalam berlaku? Siapakah lagi yang akan membayangkan kepadaku zaman muda untuk dibawa kembali bayangannya kepada kehidupan dan diundang semula kepada alam wujud ini buat kali yang seterusnya?
Engkau telah memberikan gambaran terhadapku bahawa diriku adalah insan yang istimewa semenjak aku masih di dalam dodoian buaian kehidupan. Kau sering hikayatkan kepada diriku tentang impianmu yang lahir dengan kelahiranku, yang merangkak-rangkak terserap ke dalam jati diriku bahawa aku seorang yang mulia. Ia telah tergalas di atas diriku sebagai suatu tanggungjawab yang besar dan semua ini adalah dari tatih impianmu terhadapku dan ‘wahyu’ bisikan hatimu. Siapakah nanti yang akan membisikkan kepadaku khayalan-khayalan yang membara itu? Siapakah lagi yang akan meniupkan dorongan ke dalam hatiku..?.”
Amat benarlah bagai yang dikata pepatah: “tangan yang mengayun buaian itu bisa menggoncang dunia”. Sentuhan tarbiah tangan seorang ibu telah melahirkan seorang mujahid seperti Sayyid Qutb, yang limpahan hikmahnya terus mengalir deras ke jiwa pejuang Islam, di sepanjang zaman...
- Diolah semula dari kitab Sayyid Qutb: Min al-Meelaad ilaa al-Istisyhaad karangan Solah Abdul Fattah al-Khalidi [Darul Qalam, Damascus, 1994M]

Ahad, 29 November 2009

KARISMA KEPIMPINAN (KUALITI ISTIMEWA)


Oleh ZAMRI MOHAMAD

BAGAIMANA memperoleh karisma kepimpinan? Sebagaimana disebutkan oleh Hamka, ia dimaksudkan dalam bahasa Indonesia sebagai cahaya wajah.
Cahaya ini (kuasa karisma) diperoleh daripada dua sumber, iaitu pemberian terus daripada Allah, dan kedua, daripada pergaulan dengan mereka yang mempunyai karisma seumpamanya.
Karisma adalah kualiti istimewa yang wujud khususnya dalam kepimpinan, dan menarik perhatian ramai serta memberi inspirasi dan kecenderungan orang ramai untuk mengikutnya.
Kefahaman terhadap apakah itu karisma, berubah mengikut corak media hari ini. Peranan media telah menukar imej siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin berkarisma dengan meletakan kelompok korporat dalam konteks pemimpin berkarisma moden berbanding maksud yang difahami oleh masyarakat sebelum ini.
Terdapat beberapa elemen yang diperlukan dalam mewujudkan kepimpinan berkarisma. Seseorang harus menyedari bahawa dalam diri mereka mempunyai karisma yang tersendiri.
Namun kepimpinan berkarisma dilihat daripada tiga sudut yang berbeza; karakteristik pemimpin, ciri-ciri pengikutnya dan keperluan suasana. Gabungan ketiga-tiga ciri ini mewujudkan perhubungan dan kepimpinan berkarisma secara bersama.
Ahmad Naim Jaafar, penulis buku Siri-siri Karisma dan Pembangunan Diri, menyenaraikan beberapa karakter penting dalam memenuhi kriteria kepimpinan berkarisma.
- Persepsi manusia membentuk karisma anda.
Isu persepsi sangat penting bagi individu yang melangkah ke dunia kepimpinan.
Persepsi individu-individu sekeliling turut mencorakkan kemampuan seseorang untuk berketrampilan sebagai seorang pemimpin yang sedia untuk diikuti dan dihormati.
Kelompok masyarakat sentiasa menjadi hakim terhadap kepimpinan yang ditonjolkan.
Karakter yang seimbang menjadi faktor pencetus pemimpin berkarisma. Dalam kelompok yang dipimpin, ia tidak sekadar diukur dengan nombor tetapi ia lebih dinilai melalui pandangan seseorang terhadapnya.
- Membina keyakinan diri yang tinggi.
Nilai keyakinan diri yang tinggi menjadi faktor nombor satu dalam membentuk kepimpinan berkarisma.
Sikap percaya kepada diri, tidak mudah jatuh dengan desakan dan kritikan menjadi teras kekuatan pemimpin. Dengan erti kata lain, tidak ada sesiapa yang dapat merendahkan diri seseorang melainkan diri individu tersebut membenarkannya.
- Percaya terhadap idea dan pelaksanaannya.
Kepercayaan sepenuhnya terhadap idea juga menggambarkan siapakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin berkarisma. Pemimpin sebegini tidak cenderung menyentuh dan membawa sesuatu yang bersifat teknikal tetapi lebih kepada membina idea-idea umum yang akan dibina bersama kumpulan yang mahir untuk merealisasikannya. Dalam membina idea, pemimpin berkarisma akan membawa kumpulannya dalam mencapai matlamat bersama.
Sejumlah kutipan bukanlah fokus untuk membantu mereka yang memerlukan sebagai teras untuk menggerakkan persatuan, tetapi pemimpin akan membina fokus yang lebih besar dengan meletakkan perjuangan untuk membela nasib mereka yang malang menjadi pencetus kepada bergeraknya persatuan tersebut.
Idea dan fokus umum pemimpin akan seterusnya bertukar kepada tindakan-tindakan pelbagai bagi mencapai sasaran tersebut.
- Tenaga dan semangat yang berterusan.
Pemimpin berkarisma juga memiliki tenaga dan semangat yang tinggi.
Tenaga bukanlah sekadar tenaga fizikal pemimpin semata-mata, tetapi tenaga yang membakar semangatnya untuk terus bertindak dan memimpin serta melontarkan tenaga tersebut dengan semangat kasih sayang terhadap mereka yang dipimpinnya.
- Kemampuan menterjemah idea dan berkomunikasi.
Pada masa yang sama, kemampuan melontarkan keinginan dan kehendak terhadap mereka yang dipimpin, harus menjadi karakter seorang pemimpin berkarisma. Kegagalan dalam melontarkan secara jelas dengan kegagalan menyampaikan melalui komunikasi yang berkesan, menjadi penghalang kepada kerjasama antara pemimpin dan pengikut.
Akibatnya idea-idea yang bermanfaat dalam skala yang lebih luas tidak dapat dimanfaatkan dan diterjemah dalam tindakan susulan.
- Sentiasa membina imej secara aktif.
Pemimpin berkarisma haruslah membina imej secara aktif. Pemimpin bukan sahaja harus melihat dirinya dalam tetingkapnya sendiri, tetapi pada masa yang sama harus meletakan diri dalam tetingkap orang lain.
Pembinaan imej sendiri secara aktif dan langsung memperbaiki kekurangan lahiriah dan batiniah yang pada masa sama memperkemaskan keterampilan pemimpin.
- Bijak membaca perubahan sekeliling.
Kemampuan membaca perubahan sekeliling merupakan keperluan utama untuk pemimpin berkarisma.
Tanpa kepekaan membaca perubahan dan bersedia serta bertindak balas sesuai dengan perubahan tersebut, akan berlaku penolakan antara satu sama lain antara idea pemimpin dan perubahan.
- Mampu memotivasi orang bawahannya.
Dalam memotivasikan orang bawahan, pemimpian berkarisma harus tahu bagaimana mengetengahkan visinya dalam cara yang jelas dan mudah difahami.
Dengan kayu ukur dan matlamat yang jelas, menjangkakan yang terbaik, memberi perhatian kepada orang bawahan, memberi ganjaran yang sewajarnya, kemampuan menyampaikan mesej melalui cerita yang berkesan, meraikan kejayaan bersama dan menjadi model ikutan orang bawahannya.
Kesemua ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak dan dalam membentuk kepimpinan Muslim berkarisma yang cemerlang melalui acuan ini, ia memberi keuntungan dan ganjaran bersama kepada ummah untuk menikmati bersama.